PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN SENTIASA MENGAMALKAN KETERBUKAAN DALAM KEPELBAGAIAN
Hampir setiap hari, kami menerima tidak kurang daripada 4-5 temujanji daripada pelbagai individu, badan kerajaan, NGO dan lain-lain daripada dalam dan luar negara. Prinsip kami adalah meraikan semua tetamu yang hadir tanpa mengira latar belakang, kedudukan, agama, fahaman, parti dan juga bangsa.
Kami pernah menerima lawatan mahabbah Friendship Group for Inter-religious Service (FGIS) yang terdiri daripada saudara-saudara kami beragama Hindu, Kristian dan Buddha. Mungkin ada yang masih ingat, pertemuan kami dengan KL Archbishop Reverend Julian Leow Beng Kim yang tersebar sehingga mendapat perhatian akhbar-akhbar ternama seluruh dunia. Umum juga tahu kami pernah mengadakan pertemuan mahabbah dengan beberapa figura politik Malaysia. Malah, lebih kerap kami bertemu dengan tokoh-tokoh ulama’ dan agamawan yang terkenal. Terbaru, kami baru sahaja minggu lalu menerima kunjungan David N. Saperstein (Ambassador-at-Large for International Religious Freedom) dan Frank Whitaker (Acting Deputy of US Ambassador).
Dalam atau luar pejabat? Asalkan kedua-dua pihak selesa dan senang dengan pertemuan tersebut. Semuanya dilayan atas nama tetamu walaupun siapa pun mereka. Itulah pendirian kami dan selamanya akan menjadi pendekatan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Kita cuba mencari titik persefahaman dan mengenepikan sentimen dan emosi. Bukannya menyebarkan sesuatu yang tidak jelas apatah lagi mengelakkan untuk bertemu mata bagi meleraikan sengketa. Tetamu datang dengan harapan dan sekurang-kurangnya pulang dengan terukir senyuman di bibir. Itu satu kebahagiaan yang tidak tergambar buat diri ini.
Kami sentiasa mengamalkan prinsip keterbukaan, meraikan perbezaan pandangan dan sedaya upaya mencari ruang bagi merapatkan jurang perbezaan dalam kalangan sesama umat Islam. Tidak pernah sama sekali kami diajar untuk bersangka buruk kepada sesama umat Muslim. Malah, kami dibentuk untuk sentiasa bersangka baik kepada sesama umat Islam.
Kami cukup tertarik apabila seorang Syeikh al-Azhar, Syeikh Muhammad al-Maraghi ketika beliau bertugas sebagai seorang qadhi di Sudan, beliau telah bertemu salah seorang gurunya iaitu Syeikh Muhammad Abduh lantas meminta nasihat dan panduan berkenaan bahan bacaan yang sesuai untuk dihadam dan dijadikan teman? Maka Syeikh Muhammad Abduh berkata, “Bawalah bersama-samamu kitab Ihya’ Ulum al-Din (oleh Imam al-Ghazali).” Jika dua tokoh reformis besar ini, walaupun berlainan pendapat mampu bertoleransi dan menerima Ihya’ Ulum al-Din, apatah lagi sesama kita yang serba kekurangan ini. Begitu juga, Fiqh al-Ta’ayush (fiqh kebersamaan) yang perlu dihayati dengan penuh keinsafan dan kematangan antara kedua pihak.
Jika kuku yang panjang, kuku lah yang dipotong, bukannya jari. Sama juga apabila timbul salahfaham, ego lah yang wajar dipotong, bukannya silaturrahim.
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan.
No comments:
Post a Comment